
Sistem Perakaunan Asas Akruan Akan Diperkenal 2016, Pertingkat Sistem Perakaunan
KUCHING, Isnin - Sistem perakaunan asas akruan yang diperkenalkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2016, umum Ketua Menteri Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud.
Pelaksanaan sistem akruan itu secara berperingkat akan bermula pada tahun 2014 kerana ia merupakan satu standard keperluan untuk laporan kewangan yang lebih tepat oleh jabatan kerajaan.
"Ketika ini beberapa buah negara telah mengadaptasikan sistem ini dalam perakaunan mereka iaitu negara New Zealand dan Australia.
“Malaysia juga tidak akan ketinggalan dan akan bergerak ke hadapan untuk mengubah sistem perakaunan yang sedia ada kepada sistem akruan ini," katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Dato Sri Michael Manyin Jawong.
Tambahnya, meskipun isu perlaksanaan perakaunan akruan di sektor awam sering diperkatakan, kajian menunjukkan bahawa pelaporan perakaunan akruan dapat memberi kesan yang signifikan kepada pemegang tara dalam mengetahui prestasi kerajaan serta hubungannya dengan pembangunan negara.
“Untuk menarik pelabur asing ke negara ini, para pelabur perlu mengetahui prestasi kerajaan yang diharap sentiasa konsisten dalam sesuatu prosedur dan keupayaan menguruskan kewangan dengan bijaksana. Ini semua jelas dilaporkan dalam perakaunan berasaskan akruan yang akan diaplikasi oleh kita nanti," katanya.
Jelasnya, dengan adanya sistem perakaunan yang baik dan lancar ini, ia akan memberi impak yang besar terhadap pembangunan negeri Sarawak terutamanya Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
"Dengan SCORE, pendapatan Sarawak dijangka meningkat lebih daripada empat kali ganda pada tahun 2030, iaitu sebanyak 1.5 juta pekerjaan yang mampu menjana pendapatan tinggi," katanya.
Beliau yakin sistem perakaunan akruan ini adalah satu sistem yang telus dalam apa jua tindakan dan perlaksanaan yang dibuat demi memenuhi tuntutan rakyat.
Seramai 700 peserta dari sektor awam dan swasta menghadiri persidangan selama dua hari ini yang bertujuan untuk membuat perubahan terhadap landskap perakaunan sektor awam di negara ini.
(Sumber dari Keratan Akhbar Utusan Sarawak, Selasa, 7 Jun 2011, 5 Rejab 1432H)



