
Jawatankuasa Pantau Pakej Rangsangan Ekonomi
KOTA BHARU: Kementerian Kewangan sudah mewujudkan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pakej Rangsangan bagi memantau dengan lebih dekat semua projek di bawah dua pakej rangsangan ekonomi serta memastikan tempo pelaksanaannya ditingkatkan.
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata jawatankuasa terbabit yang dilantik Datuk Seri Najib Razak, memberi laporan berhubung perkembangan pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan itu kepada Perdana Menteri setiap dua minggu.
"Setiap dua minggu, jawatankuasa yang juga bertindak sebagai pemantau ini membuat kajian dan mengenal pasti jika ada masalah dalam pelaksanaan pakej rangsangan berkenaan."
"Keanggotaan jawatankuasa ini dilantik khusus oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang mana setiap dua minggu, ia akan menyediakan laporan berhubung pelaksanaan dan masalah yang dihadapi sesuatu projek yang dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam ke-24 anjuran Persatuan Akauntan Sektor Awam Malaysia (PERASAMA) dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di sini, semalam.
Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Dato' Mohd Salleh Mahmud dan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Akauntan Sektor Awam ke-24, Jamela Mohd Syed.
Sebelum ini, kerajaan sudah melancarkan dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion iaitu pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion yang dilancarkan November tahun lalu, manakala pakej kedua bernilai RM60 bilion diumumkan Mac lalu yang disasarkan untuk meliputi tempoh dua tahun.
Ia bagi merangsangkan kegiatan ekonomi dan mengelak negara daripada terjejas teruk oleh krisis ekonomi dunia yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 70 tahun.
Awang Adek berkata, sehingga kini, hampir keseluruhan projek di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama sudah dilaksanakan manakala pakej rangsangan kedua masih dalam proses pelaksanaan.
(Sumber dari Keratan Akhbar Berita Harian, Rabu, 29 Julai 2009, 7 Syaaban 1430)



